Kompang
dipalu, selawat dipanjatkan. Indah rentak alunannya. Wajah ibubapanya riang
menyambut kepulangan anak tersayang setelah hampir 5 tahun bermusafir di negara
orang. Kejap pelukan Tuan Ikmal. Puan Asiah menitiskan air mata. Mukhriz
mengukir senyuman menampakkan kedua lesung pipit di pipinya. Wajah kedua orang
tuanya direnung lama melepaskan seluruh rasa rindu yang lama bersarang di dalam
hati. Puan Asiah masih lagi menitiskan air mata. Mukhriz melangkah merapati
ibunya. Jarinya menyeka air mata si ibu.
“Ibu, janganlah menangis. Air mata ibu terlalu berharga. Jangan menangis lagi ya.”
“Baiklah,nak. Dah, jom masuk rumah. Kita makan dulu, ya? Lepas tu kamu berehatlah.”
Mukhriz tersenyum lalu menarik kedua
ibubapanya masuk ke rumah. Seluruh tetamu bergembira dan dijamu dengan pelbagai
jenis hidangan. Sedikit majlis kesyukuran dilangsungkan demi menyambut
kepulangan Mukhriz. Semua hadirin terjenguk-jenguk dari celah tingkap ingin
melihat susuk tubuh pemilik nama Mukhriz Imani.
“Cuba Mukhriz tengok semua jiran tetangga kita. Semuanya terintai-intai. Lucu juga ayah lihat telatah mereka.” Tuan Ikmal gelak besar.
“Abang ni! Abang juga yang jemput mereka ada pula ditertawakan. Biasalah, anak kita ni dah besar panjang. Bertambah kacak pula tu. Bangga saya jadi ibu kepada anak kita ni.”
Mukhriz tersenyum, “Ayah, ibu. Mukhriz tengok telatah ayah dan ibu lagi kelakar. Memang tak pernah nak berubah, kan? Dari dulu sampai sekarang sama saja.”
“Entah ayah kamu ni!” Puan Asiah geram.
“Eh, ayah pula. Ibu kamu ni ha yang selalu buat ayah sakit jiwa.” Tuan Ikmal membalas.
“Eh, bergaduh pula. Kang Mukhriz ambilkan pedang seorang satu ha, berperanglah puas-puas.”
Mereka semua tergelak besar. Makanan
terhidang dijamu sambil usik mengusik berlangsung secara live. Mukhriz
makan dengan berselera. Sudah lama dia tidak menjamu makanan kampung seperti
itu. Di tempatnya ketika belajar hanya roti atau gandum menjadi santapan harian
kerana adat orang di sana gandum sebagai makanan ruji. Nasi, hanya beberapa
kali dijamah kerana harga beras yang sangat tinggi di Arab Saudi.
“Tengok, kan dah kelaparan. Kasihan anak ibu. Itulah, ibu nak jemput di lapangan terbang tidak mahu. Kalau tak, bolehlah kita keluar makan bertiga di mana-mana restoran. Nak menunggu sampai di rumah ni alahai seksanya.”
“Ibu, benda pertama sekali yang Mukhriz nak jamah buat membasahi bibir adalah masakan ibu. Masakan ibu adalah makanan paling berkat dan redha yang perlu setiap anak miliki dan syukuri. Lagipun ibu, kalau ibu dan ayah sambut Mukhriz di sana, tak adalah majlis kesyukuran yang meriah seperti ini. Alhamdulillah…. Mukhriz sangat gembira dapat menjejakkan kaki ke tanah air sendiri. Meskipun terpaksa berlapar sementara menunggu penerbangan ke Terengganu ini pula, Mukhriz sanggup asalkan ibu dan ayah setia menanti Mukhriz.”
“Bagus, anak ayah!”
Tuan Ikmal menepuk lembut bahu Mukhriz.
“Anak abang saja ke?” Puan Asiah muncung.
“Ayah, ibu, kalau tak ada ayah ibu tak wujudlah Mukhriz ni.” Mukhriz berloya buruk. Mereka bertiga gelak terbahak-bahak. Terpancar wajah nan keriangan Tuan Ikmal dan Puan Asiah.
“Sayang ibu........” Puan Asiah memandang tepat ke anak mata Mukhriz.
“Ha, adalah yang dihajatkannya tu. Apa dia, ibu sayang?”
“Mukhriz dah jumpa calon isteri? Umur Mukhriz pun bukan muda lagi. Dah 27 tahun pun. Terlebih layak sangat nak berumahtangga. Kalau Mukhriz tak ada calon lagi, ibu boleh carikan. Ibu tak sabar nak timang cucu.”
“Ibu, Mukriz baru je balik tak sempat lagi.....”
Kata-kata Mukhriz mati di situ.
Matanya mati ke satu wajah. Hatinya taajub. Keindahan luar biasa. Keindahan
yang tidak pernah dilihat di mana-mana meskipun pandangannya luas meneroka ke
seluruh pelusuk dunia.
“Ibu Asiah,Ayah Ikmal, maaf mengganggu. Solihah ada buat sedikit kuih karipap dan bahulu. Segan pula hanya kuih-kuih ini sahaja yang Solihah mampu beri. Solihah letakkan di sini ya.” Sambil mengukir senyuman Solihah Khadijah meletakkan bekas kuih tersebut di atas meja. Betul-betul bersebelahan dengan pinggan Mukhriz sedang mata Mukhriz masih tidak lekang dari memandang wajah manis itu.
“Tak apalah, Solihah. Besar benar dah pemberian kamu ni. Terima kasih sangat. Abang Mukhriz kamu ni ha tadi ada juga sebut pasal kuih karipap dan bahulu. Tak sempat Ibu Asiah nak buat sebab tak menang tangan dengan hidangan dan persediaan majlis yang lain. Kebetulan pula Solihah bawakan kuih-kuih ni. Tidaklah Abang Mukhriz kamu ni kempunan.”
Solihah Khadijah tersenyum. Matanya
menjeling sebentar ke arah Mukhriz. Jantungnya berdegup kencang kerana mata
jejaka itu tajam memerhati ke wajahnya. Cepat-cepat Solihah meminta diri untuk
pulang. Puan Asiah dan Tuan Ikmal tergelak melihat Mukhriz.
“Kan betul apa ibu
kamu cakap, Mukhriz. Dah terlebih layak dah nak kahwin. Tengok tu! Pandang anak
dara orang macam nak telan saja.”
“Eh, ayah perasan
ke?” Mukhriz tersengih-sengih.
“Siapa yang takkan
perasan kalau dah pandang anak dara orang macam tu. Kamu ni Mukhriz, kalau nak
tu cakap saja. Nanti ayah dan ibu pergi pinangkan.” Tuan Ikmal tergelak.
“Ayah, ibu, siapa gerangannya tu?”
“Amboi......” Puan Asiah mencebik.
“Ibu, Mukhriz tanya betul-betullah ni. Nampak macam main-main ke?”
“Hahahaha.... Itu Solihah Khadijah. Kamu ni dah lupa ke, Mukhriz.” Tuan Ikmal mengerutkan dahi.
“Tak ingatlah, ayah.” Mukhriz menggelengkan kepala.
“Kamu ni memang anak bertuah. Bukan main lagi masa kecil-kecil dulu sikit-sikit Solihah Khadijah, sikit-sikit Solihah Khadijah. Kalau tak jumpa Solihah satu hari memang mencukalah muka kamu tu.” Puan Asiah tersengih.
“Iye ke, bu? Kenapa Mukhriz tak ingat, ya?”
“Iyalah, masa tu kamu baru tujuh tahun. Solihah pula baru empat tahun. Mana nak ingatnya. Masuk sahaja Solihah umur tujuh tahun ayahnya hantar ke sekolah Tahfiz kanak-kanak di Kuala Terengganu. Semenjak itulah kamu terpisah. Solihah pula sekarang baru sahaja tamat pengajiannya dari Universiti Malaya. Masing-masing sibuk dengan perjuangan sendiri. Mana nak ingatnya. Dah 20 tahun berlalu.” Panjang lebar Tuan Ikmal menerangkan.
“Oh.... Mukhriz betul-betul lupa. Sekejap, Solihah ni anak Ustazah Habibah duduk di simpang jalan tu, kan?”
“Ha, ingat pun lagi kamu. Iyalah, betullah tu. Guru kamu mengaji dulu. Bukan main susah ayah kamu ajak mengaji dengan ayah sahaja di rumah tapi sibuk nak belajar dengan Ustazah Habibah. Rupa-rupanya ada udang di sebalik mee hailam.” Puan Asiah mengimbau kenangan.
“Hehe... Itu bukan disengajakan. Dan tiba-tiba, Mukhriz macam mengidam mee hailam ibu. Ibu kena buatkan Mukhriz mee hailam untuk minum petang nanti tau.”
“Menyesal ibu sebut. Anak ibu ni memang bertuah.”
“Anak ibu dan ayah juga.... Mestilah bertuah....” Cepat Mukhriz bangun menuju ke dapur.
Tuan Ikmal segera bersuara. “Kan abang dah cakap abang nak bermanja-manja dengan kamu nanti. Kalau suruh Solihah yang masak agak-agaknya Mukhriz nak makan tak ya?”
Sengaja
Tuan Ikmal menguatkan suara. Sedang Mukhriz di dapur tersengih-sengih sendiri
sambil membasuh pinggan.
************************************************
“Maafkan kami, Puan
Asiah. Maafkan kami. Allah..... Saya betul-betul minta maaf. Kami tiada niat
langsung secara sengaja ingin menolak hasrat pihak Tuan Ikmal dan Puan Asiah.
Serasa tidak layak bagi kami hanya orang biasa-biasa ini menolak pinangan anak
Tuan dan Puan. Astaghfirullahalazim.... Maafkan kami.”
Lekas Puan Asiah
mengenggam tangan Ustazah Habibah. “Tidak mengapa, ustazah. Kami datang pun
secara tiba-tiba malah tidak memaklumkan lebih awal pun. Sepatutnya pihak kami
yang meminta maaf kerana menyebabkan Ustazah Habibah dan Ustaz Hafiz berasa
serba salah begini. Seharusnya kami perlu lebih awal menduga. Manakan tidak,
orang secantik dan sebijak Solihah Khadijah pasti menjadi rebutan. Ditambah
pula dengan akhlaknya yang indah.”
“Puan, Tuan, maafkan kami. Kami telah terlebih dahulu menerima pinangan dari sahabat sekuliah Solihah. Ya Allah, bezanya hanya sehari dua sahaja. Maafkan kami.” Berkerut wajah Ustaz Hafiz.
“Tidak mengapa, Ustaz. Berhentilah dari meminta maaf. Dalam soal begini tidak ada sesiapa pun yang bersalah. Biasalah, soal kehidupan ini kita cuma manusia biasa. Kita merancang Allah juga merancang tetapi Allahlah sebaik-baik perancang.”
Sebelum berangkat pulang mereka
saling berpelukan. Serasa berat hati Ustaz Hafiz dan Ustazah Habibah melepaskan
tetamu yang pada mulanya datang membawa hajat yang besar tetapi pulang dengan
perasaan hampa. Rombongan rakan sekuliah Solihah Khadijah, Luqman al-Hakim
hanya seminggu awal datang meminang anak gadis mereka. Telah datangnya lelaki
yang baik dari keluarga yang baik masakan mereka mahu menolak. Kereta tetamu
menderum pergi. Ustazah Habibah memandang ke wajah suaminya.
“Abang, benarkah keputusan kita ini?”
“Allah.... Jangan ditanya abang soalan itu, isteriku. Benar kata Tuan Ikmal, Kita merancang Allah juga merancang tetapi Allahlah sebaik-baik perancang, sayang.”
Sedang melihat dari celah-celah
sisipan langsir, yang sejak dari tadi berdiri di situ, kejap pegangannya
memeluk al-Quran dengan limpahan air mata. Bibir matanya membengkak. Sendunya
teresak-esak tersembunyi. Daun pintu lekas ditutup. Bimbang kedua orang tuanya
akan tahu dan menambah beban kerunsingan di hati mereka. Sakit dan sedihnya
disimpan rapi dan sendiri. Biarlah hanya Allah sahaja yang tahu apa isi hati
dan keinginannya. Segalanya hanya diserahkan kepada Allah. Yakin atas ketentuan
Ilahi.
“Allah, Allahu khair
al-makirin......... Allahhhhhh........”
*******************************************
Perlahan Puan Asiah
duduk di sebelah anak bujangnya. “Mukhriz sayang, ibu dan ayah hendak ke rumah
Solihah. Ada majlis.....”
“Ibu, Mukhriz ingat, ibu. Mukhriz tak lupa. Ibu tunggu sekejap di bawah, ya. Mukhriz hendak bersiap-siap.”
“Baiklah, nak.”
Melihat susuk tubuh anak itu dengan
wajah yang sentiasa cuba diukir dengan senyuman sesiapa pun yang memandang
tidak akan percaya bahawa hatinya sedang derita. Hanya hati seorang ibu yang
mengerti. Ketika dikhabarkan kepadanya perihal kehampaan pinangan mereka,
Mukhriz seperti biasa masih lagi mampu tersenyum. Tabah.
“Ibu, ya Allah.... Kan Mukhriz dah cakap tunggu Mukhriz kat bawah. Boleh pula ibu termenung atas katil Mukhriz ni. Janganlah cakap ibu yang tak jadi nak pergi sebab nak tidur atas katil empuk mukhriz ni. Maklumlah, tilam baru.”
“Ada ke situ pulak dia. Dah cepat siap. Ayah dengan ibu tunggu kat bawah. Tak payah bersiap macam anak dara sangat.”
“Baiklah, ibu sayang.” Mukhriz tersenyum. Sakit hati si ibu melihat senyuman itu. Adakah sekadar dipaksa?
******************************
“Tahniah, Solihah, Luqman!”
“Terima kasih.” Luqman al-Hakim tersenyum.
“Solihah seorang wanita Solehah, selayaknya peroleh lelaki sepertinya. Alhamdulillah, sampai juga jodoh Solihah. Semoga melayari bahtera dengan baik. Segala badai dan rintangan yang melanda, abang doakan semoga Solihah berjaya mengharunginya. Luqman, jaga Solihah sebaiknya. Seorang imam yang baik adalah dia yang mampu tersenyum ketika duka dan mampu bertegas ketika salah makmumnya. Abang balik dulu. Assalamualaikum.”
‘Waalaikumussalam....
Abang Mukhriz, adakah abang tidak pernah tahu apa yang Solihah rasa? Adakah
abang telah selamanya melupakan Solihah kerana waktu yang tidak berpihak kepada
kita? Adakah abang tidak pernah mengingati Solihah walau hanya senyuman Solihah
ketika kita bermain semasa kecil dahulu?’ Semuanya terluah hanya dalam hati.
Pandangan serasa kabur kerana air yang mula menakung di tubir mata. Segera
diseka agar tiada seorang pun yang dapat melihatnya.
‘Solihah, kau telah menjadi milik suamimu dan hanya kepada suamimu kau mengabdikan diri. Allah amanahkan lelaki ini kepadamu agar kau bantunya mencapai syurga. Bukan mendamba hati lelaki lain. Meskipun hatimu terseksa dan terpaksa meredhainya, Allahlah tempat segalanya kau yakini. Ketentuan ini milikNya, mutlak!’ Solihah Khadijah memujuk hati.
Luqman al-Hakim memandang ke wajah
isterinya. Sejak tadi isterinya itu membatu dan mendiamkan diri. Pandangannya
tunduk ke lantai. Sedikitpun tidak dikalihkan memandang ke wajah sang suami.
Luqman al-Hakim segera mendekatkan bibirnya hampir dengan wajah Solihah
Khadijah dan berbisik perlahan.
“Solihah, abang ada buat salah, ke? Solihah marah abang?”
“Abang.... Tak, abang. Solihah cuma teringatkan sesuatu. Sesuatu yang tertinggal tapi tak penting dah. Apa yang penting sekarang adalah abang.”
“Boleh abang tahu apa yang tertinggal tu.”
“Abang agak-agak apa?”
“Abang manalah tahu, sayang....”
“Abang tekalah!”
“Kejap, abang rasa abang tahu apa dia.”
“Apa?”
“Tapak kaki??”
“Abang!” Laju tangan Solihah mencubit lengan suaminya.
“Aduh, sakit!”
“Ha, tulah balasan bagi mereka-mereka yang ingkar.”
“Apa yang abang ingkar?”
“Ingkarlah, ingkar dengan Solihah.”
“Setakat ni tak pernah lagi dengar suami ingkar dengan isteri. Ni ilmu baru ni. Bagus-bagus.”
“Abang ni!” Sekali lagi tangannya laju mencubit lengan Luqman al-Hakim.
“Aduh! Abang ingkar lagi ya. Maaf deh....” Berkerut dahi Luqman al-Hakim menahan pedih cubitan itu.
“Abang ni memang, kan! Malam ni tidur luar.”
“Eh, mana boleh!”
Solihah Khadijah memuncungkan bibir.
Tanpa disedari ada sepasang mata dari jauh yang memerhati telatah dan kerenah
sepasang suami isteri itu. Hatinya sedikit tercalar dan terasa pedih. Lantas
jalannya diatur kembali ke rumah.
************************************
“Allah, aku terlalu kerdil di hadapanMu. Aku terlalu riak dengan sentiasa berasa baik dan sempurna sehingga mengharap dia yang sempurna kan hadir mengisi kekosongan sedikit ruang dalam hatiku. Aku terlalu riak dengan diriku sendiri. Aku berasa ujub dengan kebaikan yang aku lakukan. Wahai Allah Tuhan pentadbir sekalian hati, sesungguhnya aku si kerdil ini, Ya Allah, berasa sakit atas kegembiraan orang lain. Ya Allah, kupinta Kau pimpinlah hatiku ini. Ia sedang sakit, ya Allah. Sakit yang parah dengan hanya sedikit ujian dariMu. Aku tidak pernah berasa selemah ini. Hanya kepadaMu wahai Tuhan yang berkuasa menciptakan hati. Kau redhailah akan hatiku ini agar dapat aku meredhai dan melepaskan apa yang pernah aku impikan untuk memilikinya, Ya Allah. Amin Amin ya Rabb al-Alamin....”
Air matanya gugur bercucuran
menyembah persujudan. Dadanya disentuh dan digenggam kejap. Sakitnya tidak
terhingga. Tiada penawar terbaik selain redha itu sendiri. Basah pipinya cuba
ditepis akan tetapi air jernih itu tidak pernah mendengar dan terus-terusan
mengalir. Betapa tabah dirinya menahan segala rasa hati ketika berhadapan
dengan Solihah Khadijah.
“Ayah, ibu...”
“Ya, sayang. Kenapa ni?” Puan Asiah memandang ke wajah suaminya.
“Ayah, ibu... Izinkan Mukriz menyambung pengajian Mukhriz di Madinah.”
“Mukhriz, kenapa tiba-tiba?” Tuan Ikmal terkejut besar.
“Mukhriz dapat tawaran ke sana.”
“Bila? Mukhriz tak pernah pun beritahu ibu sebelum ni. Abang, dia ada beritahu abang ke?”
“Mukhriz, kamu ni sungguh-sungguh ke? Perniagaan ayah di sini siapa yang hendak menguruskannya. Kamulah satu-satunya anak ayah dan ibu. Takkan sekali lagi kami terpaksa berjauhan dengan kamu?”
“Ayah, ibu... Mukhriz minta maaf. Tapi mukhriz harap ayah dan ibu pertimbangkan keputusan Mukhriz ni. Maafkan Mukhriz. Mukhriz naik ke bilik dahulu.” Mukhriz terus bangun dan mendaki anak tangga.
Puan Asiah memandang ke arah
suaminya penuh pengertian. Wajahnya jelas suram. Secara tiba-tiba anak itu
membuat keputusan begitu.
“Abang.....” Puan Asiah seolah-olah hilang tempat berharap.
“Abang pun tak tahu nak cakap apa. Allahhh......” Tuan Ikmal menekup muka sambil melepaskan nafas berat.
Apakah keputusan yang terpaksa
diambil? Adakah membiarkan sahaja anak tu pergi sehingga mereka sekali lagi
akan berasa sunyi di dalam rumah serba mewah itu atau melarangnya keluar dan
membiarkan hati anak itu terus-terusan sakit melihat hakikat yang berlaku?
Keliru.
**********************************
“Ayah, ibu, Mukhriz
pergi dulu. Maafkan, Mukhriz. Mukhriz tidak mampu untuk duduk lama di sini.
Mukhriz harap apa yang Mukhriz cari Mukhriz akan jumpa.”
“Sayang, kebahagiaan apa yang kamu maksudkan ni?”
“Ibu, kebahagiaan yang mampu Mukhriz dapat tanpa rasakehilangan dan beban.”
“Mukhriz, adakah benar kamu menyintai Solihah Khadijah?” Tuan Ikmal terasa lega melepaskan soalan itu.
“Ayah, dia tidak ditakdirkan untuk Mukhriz. Dan hijrah ini semoga ia mampu mengubati hati yang terluka. Maafkan Mukhriz, ayah. Maafkan Mukhriz, ibu.”
Mukhriz memeluk kedua orang tuanya
seakan-akan tidak mahu untuk melepaskannya. Akan tetapi hatinya seakan-akan
meminta segera pergi meninggalkan negara tanah tumpah darahnya. Penerbangan ke
Madinah akan berangkat dalam masa setengah jam sahaja lagi.
“Ayah, ibu, Mukhriz pergi dahulu. Assalamualaikum...”
Lambaian tangan Mukhriz disambut
dengan cucuran air mata Puan Asiah. Esakannya dilepaskan dalam pelukan Tuan
Ikmal. Tanpa disedari, air jernih itu juga turut singgah di pipi Tuan Ikmal.
Adakah ini kali terakhir mereka akan bertemu dengan zuriat itu? Adakah perginya
tidak akan kembali?
Kesedihan Mukhriz tersimpan
disebalik keegoan lelakinya. Dadanya serasa sakit dengan keputusannya. Sambil
berjalan melepasi laluan ke ruang berlepas tangannya memegang kejap dadanya.
Jantungnya seakan laju berdetak. Hatinya benar-benar terhiris. ‘Solihah
Khadijah, mana mungkin aku melupakan insan pertama yang kukenal setelah ibu dan
ayah. Kau sentiasa ada ketika mereka mengejek aku dayus. Kau sentiasa ada
menjadi sahabat terbaik ketika mereka membenciku. Hanya kerana aku berbeza dan
darjatku dimuliakan manusia, mereka membenciku. Tetapi Engkau telah berkata
kepadaku, manusia suka membenci manusia yang lain walaupun mereka mulia
apatah lagi hina. Apa yang penting adalah apa yang Allah pandang pada hati kita.
Meskipun ketika itu kau hanya sekecil-kecil bidadari, namun kaulah bidadari
terbaik yang pernah aku temui seumur hidupku.’
*************************************
Lautan
indah terbentang seluas saujana memandang. Laut Merah menyerlah kisah kehebatan Nabi Musa
AS dan mengagumi kekuasaan Allah SWT menewaskan Firaun dan pengikutnya.
Sesatlah mereka sehingga kini tidak ditemui. Laut Merah tanpa graviti dan
dikenali juga sebagai Laut Mati. Kelihatan kanak-kanak riang bermain air tanpa
sedikitpun gentar akan lemas. Kanak-kanak mahupun yang dewasa, terapung-apung
di permukaan air. Bergembira bermain dan bersuka ria menghabiskan waktu bersama
keluarga. Jauh fikirannya menerawang. Tiba-tiba kakinya seakan dipeluk oleh sesusuk tubuh kecil.
“Papa, papa... Papa kenapa termenung je ni?” Anak kecil itu menarik hujung baju Mukhriz.
Mukhriz tersenyum dan terus menunduk. “Sayang, datang dengan siapa ni? Papa dengan mama mana?”
“Eh, apalah papa ni. Papalah papa Aiman!”
Mukhriz tergelak. “Meh papa dukung, ya?”
“Sayang papa sangat tau! Papa, kenapa papa dah lama tak balik? Papa pergi mana? Aiman rindu sangat dengan papa.” Telatahnya mencuit hati. Lantas dia mengucup dahi Mukhriz. Mukhriz kaku. Seakan-akan anak ini ada sesuatu yang istimewa padanya.
“I am sorry, sir! My son troubled you.”
Mukhriz berpaling, “It’s o... “
Pandangan Mukhriz mati ke wajah itu. Tidak sempat dia menghabiskan ucapannya. ‘Astaghfirullahalazim, Allah, besarnya kekuasaanMu, agungnya keesaanMu, hebatnya perancanganMu!’
“Abang Mukhriz, Subhanallah... Abang Mukhriz??”
Mukhriz masih lagi kaku. Fikirannya
seakan-akan kosong tetapi ligat berputar. Adakah benar wujud susuk tubuh di hadapannya?
“Abang Mukhriz....
Abang, Solihah ni.... Abang ingat Solihah lagi?”
“Solihah Khadijah....”
“Iya, bang. Solihah ni...” Wajah Solihah seakan-akan bahagia.
“Papa, kenapa papa pandang mama macam tu? Papa rindu mama ya sebab dah lama tak jumpa?”
“Papa?” Solihah Khadijah hairan.
“Ni mama Aiman?” Mukhriz bertanya.
“Ya, inila mama Aiman. Papa ni kenapa?” Aiman tergelak.
Mukhriz segera mengucup pipi anak
kecil itu. Anak kecil yang hanya berumur empat tahun tetapi terlalu petah
berkata-kata. Aiman. Aiman Imani namanya. Nama yang hampir dengan namanya. Mukhriz
Imani.
“Abang, ke mana abang menghilangkan diri? Puas Solihah cari abang selama ni di Madinah. Dah empat tahun satu khabar pun abang tak kirimkan. Ibu Asiah dan Ayah Ikmal terlalu rindukan abang. Alhamdulillah, Allah temukan kita di sini.”
“Mana suami Solihah?” Mukhriz sengaja menukar topik.
“Abang Luqman.... Allah lebih sayangkan dia daripada mana-mana makhluk di muka bumi ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT.”
“Innalillahi wa inna ilaihi Rajiun.... Maafkan abang tapi kenapa? Bila?”
“Abang Luqman menghidap kanser tulang belakang. Ketika dua tahun usia Aiman dan sekarang Aiman sudah berumur empat tahun.”
“MasyaAllah.... Maafkan abang sebab langsung tak mengirim berita. Solihah datang dengan siapa?”
“Dengan umi, abi dan baby kecil yang nakal ni.”
“Oh, kalau Solihah tak kisah, kita makan malam bersama malam ni. Ajak umi dan abi sekali.”
“Baiklah, bang. Abang dah kahwin sekarang?”
Mukhriz tersenyum. “Belum.”
Mukhriz terus berlalu pergi membawa anak kecil itu
berjalan-jalan menikmati keindahan lewat petang di situ. Solihah Khadijah tidak
pernah melihat kegembiraan dan keterujaan anak itu sehingga sebegitu sekali.
Adakah benar dia telah bertemu dengan papa yang terbaik?
*******************************************
“Mukhriz, kenapa kamu
pergi tanpa mengirim khabar berita?” Ustaz Hafiz bertanya.
“Allah.... Ustaz, saya segan ingin mengungkit cerita lama.”
“Tidak mengapalah, Mukhriz. Nanti selesai makan ni saya ada nak bincang sikit dengan kamu.”
“Baiklah, ustaz.”
Mukhriz menjeling ke arah Solihah
Khadijah. Melihat telatah wanita itu melayan kerenah anaknya yang petah
berkata-kata. Kebijaksanaan anak itu menyusun kata mengimbau kembali zaman masa
kecil dia bersama Solihah Khadijah. ‘Allah, dugaan hatiMu datang membelah badai
sekali lagi.’
“Papa,papa... Aiman nak papa yang suap. Mama asyik marah Aiman je sebab mama cakap Aiman tak pandai diam.”
Lamunan Mukhriz
terhenti. “Ya? Mama marah Aiman? Kesian anak papa. Meh duduk kat riba papa.
Papa suap ya tapi Aiman kena janji Aiman tak boleh bercakap masa mulut tengah
penuh. Rasul kita, Muhammad tak bagi tau.”
“Muhammad tu siapa, papa?” Berkerut-kerut dahi si kecil itu. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.
“Kalau Aiman nak tahu nanti papa cerita tapi sekarang Aiman kena duduk diam-diam dan makan elok-elok. Tak boleh bercakap tau.”
“Baik, papa sayang! Ummmmuuuuaahhhh!!”
Mukhriz tersenyum. Anak kecil itu
mencium pipinya seakan-akan melepaskan seluruh kerinduan yang telah lama
bersarang dalam diri. Solihah Khadijah kaget. Malu menjalar ke seluruh
tubuhnya. Mukanya menjadi memerah. Tidak sangka Aiman seberani itu.
**********************************
“Mukhriz, sebelum
saya melanjurkan bicara saya. Saya ingin meminta maaf seandainya apa yang saya
akan katakan nanti mengguris hati kamu atau menjadi perkara yang kamu murka.
Maafkan saya, Mukhriz.”
“Apa dia, Ustaz? Ustaz tidak perlu risau. Saya sedia mendengarnya.”
“Mukhriz, Solihah Khadijah adalah janda beranak satu. Saya tidak mahu melepaskan lelaki yang baik yang ada di hadapan mata ke tangan orang lain. Tetapi adakah kamu sudi menerima Solihah Khadijah sebagai isterimu?”
“Subhanallah..... MasyaAllah..... Aku terima lamarannya dari walinya, Solihah Khadijah.”
Mukhriz tunduk sujud syukur . Menghadap
ke lautan indah di hadapan. Ombak, rembulan, pepasiran. Semuanya menjadi saksi
kekuasaan Allah menautkan dua hati. Mukhriz berpaling ke belakang memandang ke
arah Solihah Khadijah. Aiman laju berlari untuk memeluknya, "papa!!"
‘Hanya kekuasaanMu, Ya Allah. Tiada tandingan dan tiada duanya. Hanya Engkau yang Esa.’
‘Hanya kekuasaanMu, Ya Allah. Tiada tandingan dan tiada duanya. Hanya Engkau yang Esa.’
best la storynie akak (:
ReplyDeleteSyukran... Untuk pelbagai cerpen dan kisah ht yg lbh mnarik boleh lawati blog pertama kaetrinasalwa sheikh al-Luqman di http://kaetrinasalwaieja91.blogspot.com/ ya.. Syukran!
Delete